Wednesday, August 20, 2008

De-Islamisasi: Satu Pengertian

Assalamualaikum semua. dah lama Lebai tidak bersua dengan artikel terbaru. Ini semua adalah atas kelemahan LEbai sendiri. Tetapi bukan Lebai asyik tengok TV macam sesetengah orang yang lain. Cuma sibuk membuat sedikit reach-search.

Kalau KITA asyik tengok Tv sebagai contoh, atau internet yang mempunyai akses kepada perkara2 yang boleh melalaikan, maka sebenarnya KITA sedang terdedah kepada satu proses kepada penghakisan iman dan penurunan tahap penghayatan Islam, yang berlaku secara sedar atau tidak. (Zulkiple Abd Ghani: 2003). Sebagai contoh, apabila KITA selesai mendengar ceramah atau kuliah agama, iman KITA semakin meningkat. Tetapi, apabila KITA pulang, dan membuka televisyen, dengan Kuch Kuch Hota Hai, Liontin, Bawang Putih Bawang Merah dan Akademi Fantasia misalnya, sekadar menyebut beberapa program, iman KITA akan mula berkurangan semula, malah mungkin sehingga terhakis dari diri KITA. Inilah yang dinamakan de-Islamisasi.

Abdul Ghafar Don dan Zaleha Mohd Ali dalam buku yang bertajuk 'Dakwah dan Cabaran De-Islamisasi di Malaysia' banyak menghuraikan mengenai perkara ini. Namun, sekadar untuk berkongsi istilah dan pemahaman tentang perkara ini, Lebai sekadar memetik dan memaparkan mengenai pengertian dari sudut epistimologi sahaja.

Menurut kamus Bahasa Melayu Nusantara (2003), perkataan de ialah mengurangkan dan menghilangkan sesuatu manakala perkataan islamisasi membawa maksud proses bagi mengislamkan sesuatu mengikut ajaran Islam yang sebenar.

Manakala menurut Kamus Dewan (2000), Islamisasi diertikan sebagai satu usaha atau proses yang menjadikan patuh, sejajar dengan ajaran Islam.

Dalam Kamus Za'ba (2000), perkataan Islamisasi boleh diertikan sebagai usaha atau proses untuk menjadikan segala urusan sejajar dan sesuai dengan ajaran Islam atau memperlihatkan pengislaman daripada segenap aspek yang merangkumi sosial, politik dan ekonomi.

Apabila perkataan Islamisasi digabungjalinkan dengan perkataan de telah membawa maksud yang berbeza. Perkataan De-Islamisasi membawa maksud suatu usaha atau tindakan yang bertentangan dengan ajaran Islam di mana berlakunya penghakisan iman serta penurunan penghayatan Islam hasil daripada memanipulasikan nilai-nilai yang diimport dari Barat.

Sebagai kesimpulan, KITA sebagai umat Islam yang cintakan agama, Nabi Muhammad s.a.w. dan negara perlu mengambil berat mengenai sebelum ianya menjadi lebih parah. KITA yang semua perlu sentiasa memberi peringatan, nasihat dan teguran antara satu sama lain mengikut kadar kemampuan dan ilmu masing-masing seperti yang dijelaskan oleh Dr Abd Karim Zaidan dalam bukunya Usul al-Dakwah, dan jangan pula hanya memeluk tubuh sahaja kerana ia akan menjadikan KITA sebagai golongan baik yang akan dibinasakan oleh ALLAH s.w.t. seperti yang Lebai jelaskan dalam posting Lebai sebelum ini. Firman Allah s.w.t. dalam surah ali-Imran ayat 104:
Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada
kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar;
merekalah orang-orang yang beruntung.