Monday, June 16, 2008

Masalah Dakwah dan Pendakwah- Fathi Yakan

BAB SATU:
GERAKAN DAKWAH SEPANJANG EMPAT PULUH TAHUN DAHULU

Gerakan Islam (dakwah) di tahun-tahun kebelakangan ini menghadapi berbagai-bagai tragedi yang berterusan serta berbagai-bagai suasana yang sukar lagi menyulitkan, menyebabkan para pejuang Islam di merata pelusuk dunia Islam menoleh kembali kepada garis percubaan yang telah ditempuhi oleh gerakan dakwah Islam dalam tempoh empat puluh tahun dahulu. Keadaan ini juga memaksa para pejuang Islam yang ulung mengulangkaji dengan penuh amanah dan ikhlas segala hasil khazanah Islam (dari segi pemikiran dan gerakannya) sepanjang tempoh tersebut meliputi seluruh kebaikan dan kecacatannya.

Program dan Metodologi

Metod-metod yang telah dipakai oleh pergerakan Islam sepanjang tahun-tahun yang lalu itu sentiasa memerlukan penyingkapan dan perubahan agar bersesuaian dengan kedudukan persoalan Islam dan sejajar dengan perkembangan-perkembangan dan persekitaran yang melingkunginya.

Selain dari itu, pencerapan terhadap pelbagai perbezaan asasi di antara sebuah negeri dengan sebuah negeri yang lain, di antara suatu suasana hidup dengan suasana hidup yang lain, adalah sangat penting dalam usaha memperkembangkan program dn metod tersebut. Kejayaan dakwah di suatu tempat tertentu tidaklah boleh dijadikan ukuran kepada pendakwah di semua tempat. Dan segala program dan metod yang digunapakai oleh dakwah di satu tempat dan masa tertentu tidaklah mungkin dijadikan pegangan secara menyeluruh dan terperinci di segenap masa dan tempat.


Perancangan dan Organisasi

Sekiranya segala metod dan program pergerakan Islam itu perlu diperkembangkan, maka adalah lebih perlu diperhatikan terhadap nilai perancangan serta sejauh manakah kesannya bagi persoalan dan pergerakan dakwah itu dalam mencapai tujuan dan objektifnya.

Dengan segala perancangan dan perorganisasian, perspektif gerakan dakwah dan metodnya akan bertujuan untuk mengubah realiti masyarakat yang ada dan menggantikannya dengan sesuatu keinginan yang lain. Ini memerlukan kepada pemahaman yang tepat dan komprehensif tentang realiti tersebut seperti menilai segala tenaga bantu dan kecenderungan yang ada. Kemudian kita harus pula mempunyai kefahaman yang mendalam terhadap realiti keislaman yang dituju itu dan juga sejauh manakah kecekapan-kecekapan dan potensi-potensi yang diperlukan. Maka apa yang kita maksudkan dengan ’perancangan dan perorganisasian’ ialah untuk menarik perhatian bahawa kegagalan dan kemelesetan yang dialami oleh aliran dan pergerakan Islam selama ini adalah lahir secara khususnya daripada cara-cara kerja yang meraba dan mengabaikan segi perancangan yang teratur.

Jika kita mahu berterus-terang dalam mencari penyelesaian bagi segala persoalan kita dan dalam merenung dan meneliti kembali segala kesalahan kita untuk mendapatkan faedah daripada pengalaman tersebut bagi kepentingan pergerakan dakwah di masa sekarang dan akan datang, maka dapat kita katakan, bahawa salah satu penyakit yang harus diubati ialah ‘kedangkalan’ dalam menentukan objektif, dalam merangka gerak kerja dan juga dalam menentukan bidang-bidangnya.

Mungkin secara andaiannya, dalam masyarakat primitif kedangkalan-kedangkalan tersebut dapat dianggap sebagai suatu cara ’berserah buta’, maka di dalam masyarakat-masyarakat progresif dan bertamadun, ianya tidak mungkin dianggap berlainan sama sekali.

Sekiranya pergerakan-pergerakan politik bersungguh-sungguh mahu menjamin kejayaan perancangannya dengan sentiasa mengadakan kajian dan berdasarkan pengalaman, maka pergerakan Islam haruslah bersikap lebih serius keranya ianya adalah dakwah kebenaran, hidayah dan cahaya keIslaman.

Dalam membicarakan tentang pentingnya perancangan ini, saya ingin mengisyaratkan – walaupun secara ringkas sahaja, kepada kedangkalan yang dialami oleh pergerakan dakwah dalam ruang konsepsi dan perancangannya.

Timbul dua persoalan, di mana jawapan kepada kedua-duanya merupakan sebahagian yang penting daripada konsepsi dan pendirian kita terhadap bentuk pergerakan dakwah, matlamat-matlamat dan lapangan-lapangannya.

Persoalan Pertama

Adakah gerakan dakwah itu sekadar pelengkap kepada beberapa kelemahan sahaja atau gerakan pembinaan dan pembangunan semula, yakni meruntuhkan segala bentuk amalan jahiliah kepada membangunkan masyarakat dengan teras dan ciri-ciri keislaman? Sekiranya ia merupakan yang kedua, adakah kaedah atau metodologi yang kita gunakan mampu untuk menyempurnakan tanggungjawab yang terlalu besar itu?

Persoalan Kedua

Jika gerakan dakwah bertujuan untuk memperbaharui segala aspek kehidupan kepada cara hidup Islam yang sebenar, maka bagaimanakah kita hendak menerangkan tentang permintaan tersebut kepada pemerintah dan kerajaan supaya mereka dapat memenuhi hasrat untuk mengaplikasikan nilai-nilai Islam dalam kerajaan, sedangkan kita sendiri tidak yakin bahawa mereka akan mempertimbangkan permintaan dan hasrat kita?

Bagi gerakan dakwah dan mana-mana gerakan yang ada, perlu berusaha merealisasikan sendiri program-program dan perlu berusaha mencapai matlamatnya. Inilah sebenarnya satu amalan yang perlu dipupuk oleh gerakan dakwah. Sekiranya gerakan dakwah tidak memikul tanggungjawab pemerintahan dan pelaksanaan, ia adalah satu ketidakikhlasan dan ketidakjujuran. Dalam sejarah tidak ada mana-mana gerakan ideologi yang memberikan tampuk perjuangan kepada orang-orang yang tidak percaya dengan matlamat perjuangan tersebut, dan tidak seiring dengan perjuangan tersebut.


Konsep dan Pemikiran

Gerakan Islam juga amat memerlukan ’Kesepaduan Ilmu Intelektual’ berbanding dengan keperluan-keperluan lain. Ilmu intelektual yang dimaksudkan di sini ialah ’Prinsip-prinsip Perundangan’, yang mengawal Gerakan tersebut dan dapat menentukan pandangan-pandangan serta konsep dalam setiap perkara yang berkaitan ideologi, sosial, ekonomi dan hubungan politik.

Di sini, saya suka menekankan tentang perlunya perbezaan di antara timbunan hasil-hasil penulisan dan buku-buku Islam yang terdapat di dunia Islam dengan kekurangan prinsip-prinsip yang dihasilkan dalam Gerakan Islam yang menjadi asas kepada perundangan Islam.

Kata-kata ini bukan bertujuan untuk membataskan ruang pemikiran. Bagi seseorang individu, pintu ijtihad hendaklah dibuka seluas-luasnya kepada ahli ijtihad, tetapi bagi sesuatu gerakan, ia perlu mencapai kata sepakat terhadap hukum-hukum syarak.

Banyak permasalahan dan isu-isu yang dihadapi oleh Gerakan Islam selama ini mempunyai berbagai-bagai idea dan pandangan. Kesepakatan pemikiran merupakan jalan terbaik untuk gerakan dakwah membebaskan diri dari kekusutan dan dilema perbezaan pendapat ke arah mencapai ketelusan dan kesatuan idea.

Penaksiran dan Penilaian

Salah satu sebab yang tidak membawa kejayaan kepada gerakan dakwah ialah sikap tidak ambil peduli yang ditunjukkan oleh para pendakwah dan memandang rendah terhadap tugas yang mereka pikul sama ada dari sudut intelektual atau politik. Di sini, saya menggariskan dua faktor yang membawa kepada berlakunya fenomena ini.

Pertama: Mungkin gerakan dakwah keterlaluan dalam menilai kekuatan dan kemampuan mereka sehingga memperkecilkan musuh-musuh mereka. Inilah faktor yang memabawa kepada kekalahan tentera Islam dalam peperangan Hunain seperti dalam firman Allah S.W.T. yang bermaksudnya: Sesungguhnya Allah Telah menolong kamu (hai para mukminin) di medan peperangan yang banyak, dan (Ingatlah) peperangan Hunain, yaitu diwaktu kamu menjadi congkak Karena banyaknya jumlah (mu), Maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikitpun, dan bumi yang luas itu Telah terasa sempit olehmu, Kemudian kamu lari kebelakang dengan bercerai-berai. (9:25)

Kedua: Kecenderungan lari dari kenyataan dan tidak mengambil peduli tentang persiapan material. Hal ini jelas dibantah oleh firman Allah S.W.T. yang bermaksud "Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan). (8:60)

Adalah salah jika dikatakan bahawa gerakan dakwah ini kurang berkemampuan jika dibanding dengan gerakan-gerakan lain. Gerakan ini sangat hampir dengan naluri setiap orang, dan bidang tugasnya sangat luas berbanding dengan gerakan-gerakan lain. Tambahan pula, gerakan dakwah tidak mempunyai sumber-sumber yang terhad. Tetapi kekurangan perancangan dan penyelarasan telah menghadkan penggunaan sumber tersebut dan lama-kelamaan ia akan menyumbang kepada kegagalan gerakan itu sendiri.

Adalah sesuatu yang mustahil jika gerakan dakwah dibiarkan dalam keadaan seperti itu. Pada hari ini, di mana-mana sahaja Islam mengalami nasib yang sama. Sebarang kelewatan dan kegagalan dalam usaha untuk meneruskan gerakan dakwah ini, pasti akan mendatangkan keburukan kepada agama Islam itu sendiri.

No comments: